Rabu, 10 Februari 2016

SIRI PENGEMBARAAN : 786 ANTARA DUA RASA



TUJUH LAPAN ENAM ROJAK 

Salam MFR,


Untuk paparan kali ini, team MFR berkesempatan menerjah ke satu destinasi hidangan jalanan yang amat terkenal dan dikenali oleh seluruh rakyat Malaysia iaitu Rojak. Tinjauan kali ini  di 786 Ali Rojak, Jalan Pantai Dalam, Kuala Lumpur


SEJARAH


Rojak adalah sejenis salad masyarakat India Malaysia yang terdiri daripada timun yang dimayang, bawang, Ubi Kentang, Tauhu, Taugeh, Udang Kering, Sotong dan bermacam-macam lagi isi kandungan yang digaul bersama didalam satu hidangan.  Istilah Rojak itu sendiri bermaksud "mencampur aduk". Rojak dihidang bersama kuah kacang manis berempah, Kuahnya hampir sama seperti kuah Gado-gado ataupun kuah Sate.

Di bahagian utara semenanjung Malaysia, Rojak lebih dikenali sebagai "Pasembur".  Ia biasanya dikaitkan dengan Pulau Pinang, dimana Pasembur terbaik boleh didapati di sepanjang Jalan Gurney atau lebih dikenali sebagai "Padang Kota".  Di bahagian lain di Malaysia, Istilah "Rojak Mamak" lebih biasa digunakan.  Pasembur dan Rojak juga dijual di Singapura sebagai campuran Ubi Kentang, Telur, Tauhu dan Udang Kering dihidang bersama dengan Kuah Kacang manis pedas.

Rojak biasanya dimakan di waktu petang, satu hidangan yang mengenyangkan dan boleh menjadi diet makanan berasaskan sayuran jika tidak dicampur dengan pilihan makanan yang berasaskan daging.  Hidangan Rojak menjadi tidak lengkap jika tidak dinikmati bersama pasangannya iaitu "Cendol" yang disediakan dingin bersama Kacang merah, Jagung, Cendol berserta Ais kisar yang diparut halus. Cendol Pulut adalah kombinasi terbaik sebagai hidangan pelengkap Rojak

Secara tradisinya, Penjaja Rojak ini dimonopoli oleh masyarakat India Muslim yang menjual di gerai dan motorsikal sebagai kaunter penyediaan dan jualan mereka.  Kini, Rojak boleh didapati di galeri Makan di pusat membeli belah terkenal dan perniagaan Rojak ini sudah mula ditembusi oleh masyarakat Melayu dan Cina di Malaysia.  Walaupun begitu, Rojak buatan penjaja asli Rojak masih tidak dapat ditandingi dan mendapat tempat yang utama dihati penggemar Rojak di Malaysia 



786 ALI ROJAK, JALAN PANTAI DALAM, KUALA LUMPUR


Terletak diantara bahu jalan persimpangan Lebuhraya NPE dan susur jalan desa Kampung Pantai Dalam ini bertapak sebuah gerai bergerak milik penjaja jalanan yang menjual Rojak sebagai punca rezekinya. berkongsi tapak niaga bersama-sama pengusaha kedai makanan tomyam, pusat mencuci kenderaan dan kedai menjual buah-buahan menjadikan gerai Rojak ini sebagai pusat tumpuan masyarakat setempat dan para eksekutif pejabat sebagai tempat persinggahan Rojak dan Cendol utama mereka.

PERINGATAN : Sekiranya anda seorang yang mementingkan gaya dan persembahan. Ternyata tempat ini bukan dikhaskan untuk anda.  Ini adalah lokasi Peniaga Jalanan dan cara hidangannya sedikit Ekstrem dan Eksotik.  Amat tidak sesuai bagi mereka yang mementingkan status dan Ego.



Gerai ini menawarkan empat (4) jenis hidangan Rojak dan dua (2) jenis hidangan Cendol. Harga bagi setiap hidangan adalah berbeza mengikut jenis dan selera anda. Untuk reviews kali ini, team MFR mencuba hidangan popular yang sering dinikmati oleh pengunjung tetap gerai ini. Hidangan yang dipilih adalah Rojak Biasa dan Cendol Pulut.

Harga bagi sepinggan Rojak Biasa adalah RM 4.50
Harga bagi Semangkuk Cendol Pulut adalah RM 2.50

RM 7.00 bagi sepinggan Rojak dan semangkuk Cendol Pulut boleh dikatakan sebagai masuk akal untuk satu hidangan yang lengkap.







PENGADILAN TUNAS RASA


ROJAK BIASA (RM4.50)

Satu diet hidangan berasaskan sayuran yang lengkap. Mempunyai tesktur dan rasa yang biasa. Kuah Rojak yang cukup rasa manis dan pedas tetapi isi kacang amat kurang dan sedikit cair. Campuran Rojak terdiri daripada Sengkuang, Timun, Telur, Tauhu dan Kek Kelapa goreng. 

Keseluruhannya, Hidangan ini adalah "Biasa-Biasa sahaja", boleh dimakan dan kandungan portion bagi sepinggan Rojak ini cukup mengenyangkan perut anda. Tiada yang istimewa pada hidangan ini, ianya hanya satu hidangan Rojak Jalanan biasa.









                                                                         CENDOL PULUT (RM2.50)

Cendol Pulut ini adalah satu hidangan dingin yang cukup menyegarkan. Berbeza dengan pasangannya sang Rojak Biasa. Cendol Pulut ini membangkitkan Tunas Rasa dengan kemanisan Gula Merah disulam dengan rasa lemak Santan yang cukup sempurna diadun bersama-sama Jagung Manis, Kacang Merah, Cendol serta parutan halus Ais yang mendinginkan berserta segenggam Pulut Manis yang dicampur bersama, pasti ianya akan membangkitkan deria rasa lidah anda.  

Keseluruhannya, Hidangan dingin ini adalah yang TERBAIK pernah dihasilkan oleh pemilik gerai ini. Tidak hairan mengapa ramai yang datang singgah hanya semata-mata untuk menikmati semangkuk Cendol ciptaannya. 



Untuk 786 ALI ROJAK, Cendol anda adalah yang TERBAIK diantara kesemua menu yang ditawarkan. Pastinya MFR akan kembali lagi untuk menikmati hidangan Cendol yang MENYEGARKAN tetapi TIDAK bagi hidangan Rojak anda. 




Sebelum berpisah, Saksikan dahulu star ratings yang telah kami berikan dibawah ini untuk  panduan awal sebelum  berkunjung ke 786 ALI ROJAK

=======================
786 ALI ROJAK

Kualiti: (6/10)
Kebersihan: (6/10)
Keselesaan: (6/10)
Kecekapan Masa: (6/10)
Layanan Pelayan: (6/10)
Nilai Untuk Wang: (6/10)

ROJAK BIASA : (5/10)
CENDOL PULUT : (7.5/10)

MFR RATINGS: [(3/5)]

========================

Setakat ini dulu review kali ni. Jika ada sebarang pujian atau komen yang membina, Sila beri komen di ruangan bawah ini. 

Akhir kata, Selamat Mencuba !!!

[Reviewed by: beRge ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan